August 2015 - Cikgu BM Tingkatan 5

Hot

Post Top Ad

Wednesday, August 5, 2015

Bila sifat intergriti telah hilang

9:11 PM 0

SATU persatu isu berlaku dalam negara dan terbaru, kita digemparkan dengan isu berkaitan sistem pendidikan negara pula. Tidak dinafikan, soalan peperiksaan UPSR bocor bukanlah isu yang terlalu mengejutkan kerana saban tahun isu ini didengari.      

Namun, perkara ini tidak boleh dipandang remeh kerana isu ini melibatkan integriti pihak terbabit. Jangan kerana kurang sifat integriti sesetengah pihak dalam sektor tersebut,  mengganggu dan mengaibkan sistem pendidikan negara kita. Tetapi, mengapa perkara ini sering terjadi? Siapakah yang harus dipersalahkan?.


Usaha kerajaan

Setiap tahun kita menyambut hari integriti negara. Banyak program disediakan khusus kepada penjawat awam bagi menanam sifat integriti dalam diri mereka.

Namun, kenapa perkara ini berulang dan terus berulang? Adakah segala usaha yang kerajaan lakukan langsung tidak berkesan atau itu hanya tindakan membazir?

Jangan salahkan pihak kerajaan mahupun Kementerian Pendidikan. Perkara ini datang daripada sifat individu itu sendiri, yang tidak mengamalkan integriti dalam menjalankan tugas. Namun jika perkara ini terus berlaku dan tidak dibanteras,  sesungguhnya ia mampu menghancurkan sistem pendidikan negara.


Fahami integriti

Integriti membawa maksud jujur, telus dalam melaksanakan amanah dan tanggungjawab. Sifat amanah termasuk dalam integriti. Tanpa sikap amanah setiap pekerjaan dan tugasan akan terganggu.

Mereka yang tidak mengamalkan sikap amanah dalam pekerjaan dan tidak bertanggungjawab terhadap tugasan yang diberikan boleh dikategorikan sebagai tamak, khianat, tindas-menindas dan zalim. Hidup mereka tidak akan diberkati dan tidak mendapat keredaan daripada ALLAH SWT.


Tanggungjawab setiap amal

ALLAH SWT berfirman yang bermaksud: "Dan katakanlah (wahai Muhammad): Beramallah kamu (akan segala yang diperintahkan), maka ALLAH dan Rasul-Nya serta orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan; dan kamu akan dikembalikan kepada (ALLAH) Yang Mengetahui perkara-perkara  ghaib dan yang nyata, kemudian Dia menerangkan kepada kamu apa yang kamu telah kerjakan." (Surah At-Taubah: 105)

Nyata, ayat di atas menerangkan bahawa ia adalah ancaman daripada ALLAH bagi orang yang melanggar perintah-Nya. Ini bermakna, setiap amal perbuatan mereka akan diperlihatkan kepada ALLAH, Rasulullah SAW dan orang  yang beriman. Maka perkara ini pasti akan terjadi pada hari kiamat kelak.

ALLAH SWT berfirman yang bermaksud: "Pada hari itu kalian akan dihadapkan (kepada Rabb kalian), tiada sesuatu pun dari keadaan kalian yang tersembunyi (bagi ALLAH)." (Surah Al-Haaqqah: 18)
Maka kita sebagai seorang Muslim harus takut dengan ancaman daripada ALLAH ini. Harus sentiasa berwaspada dan amanah dalam melaksanakan tanggungjawab yang diberi. Ini kerana setiap perbuatan di dunia diperlihatkan di akhirat kelak. Dan beriman sesungguhnya setiap perkara yang dilakukan diketahui oleh-Nya.


Kesan buruk

Sifat tidak amanah sangat buruk kesannya, terutama dalam sektor pekerjaan. Seperti terlibat dalam penyelewengan dan penipuan kerja yang diamanahkan.

Jika sifat tidak amanah ini berterusan, ia mampu memudaratkan diri dan keluarga individu itu sendiri. Justeru,  rezeki yang diperoleh daripada hasil kerja yang tidak amanah atau pecah amanah ini tidak mendapat keberkatan serta mengundang kemurkaan ALLAH.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Setiap daging yang tumbuh daripada makanan yang haram, maka nerakalah tempat yang selayaknya”. (Riwayat At-Tarmizi)


Islam menuntut sifat amanah

Islam menuntut kita bersifat amanah. Islam mengajar kita perihal akhlak yang baik dan murni. ALLAH telah mengutuskan Rasulullah SAW kepada kita untuk mengajar dan memberi pertunjuk mengenai akhlak yang mulia dan terpuji.

Dalam satu hadis Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak." (Riwayat Bukhari)

Namun mengapa kita sebagai umat Islam tidak mempraktikkannya dalam kehidupan seharian. Mengapa acap kali berlakunya masalah pecah amanah mahu pun rasuah ia berkaitan dengan masyarakat Islam kita.

Bukankah Islam agama yang mulia dan menekankan nilai murni yang mulia. Banyak hadis yang diriwayatkan oleh Rasulullah SAW tentang sifat amanah. Begitu juga dalam al-Quran, banyak ayat yang menjelaskan tentang kemurkaan ALLAH SWT terhadap sifat tidak amanah tersebut. 


Amanah sebahagian iman

Amanah adalah tuntutan iman. Orang yang amanah adalah orang yang sentiasa menjaga imannya. Orang yang amanah juga adalah seorang yang patuh pada undang-undang dan berpegang dengan janji-janjinya.

Sabda Rasulullah SAW: "Tiada iman pada orang yang tidak menunaikan amanah, dan tiada agama pada orang yang tidak menunaikan janji." (Riwayat Al-Iman Al-Munziri, sahih)
Rasulullah SAW menjelaskan sifat amanah adalah sesuatu yang berat dan menganggap orang yang tidak amanah adalah orang yang tidak sempurna imannya. Rasulullah SAW bersabda: "Tidak sempurna iman bagi orang yang tidak beramanah dan tidak sempurna agama bagi orang yang tidak menepati janji.” (Riwayat Ahmad)


Lawan amanah khianat

Khianat dan tidak amanah adalah dosa besar yang boleh mendatangkan mudarat pada diri dan orang lain. Amanah adalah amalan dan perbuatan yang diamanahkan oleh ALLAH kepada hamba-Nya dan janganlah kita melanggar amanah ALLAH tersebut dengan meninggalkan sunnahnya dan melakukan kemaksiatan kepada-Nya.

ALLAH berfirman yang bermaksud: "Wahai orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) ALLAH dan rasul-Nya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya)." (Surah Al-Anfaal: 27)

Dia berfirman: "Dan orang yang memelihara amanat yang dipikulnya (amanah) dan janjinya. Dan orang yang memberi kesaksiannya. Dan orang yang memelihara solatnya. Mereka itulah (kekal) di syurga lagi dimuliakan." (Surah Al-Ma’aarij: 32 - 35)

Barangkali ada yang lupa atau tidak tahu mengenai kerja itu juga ibadah. Maka bertanggungjawablah pada kerja yang diamanahkan dan bersyukur dengan kerja yang diperoleh, agar kerja tersebut menjadi ibadah, bukan mendapat kemurkaan ALLAH.


Kerja itu ibadah

ALLAH menjadikan muka bumi sebagai tempat tinggal. ALLAH menurunkan hujan daripada awan untuk ditumbuhkan rezeki kepada kita.

Di bumi ini ALLAH menjadikan sumber-sumber daripada hidupan dan pendapatan. Untuk kita mengusahakan dan memperdagangkannya. Namun  kebanyakan daripada kita tidak bersyukur dengan nikmat tersebut.

Semua pihak harus memainkan peranan membanteras mereka yang tidak bertanggungjawab dan pecah amanah kerana sifat ini mampu merosakkan sistem pendidikan negara, merugikan masa depan anak-anak bangsa dan mengaibkan integriti penjawat awam di Malaysia.

Semoga tahun ini akan memberi satu titik permulaan untuk semua pihak bangkit menangani isu ‘soalan peperiksaan bocor’ ini dengan lebih tegas dan merancang rangka kerja untuk menangani kes-kes seperti ini supaya tidak berulang lagi.

Mungkin kerajaan boleh melaksana program kerohanian dalam diri setiap penjawat awam (terutama yang beragama Islam) agar dapat memupuk sifat jati diri dan integriti dalam menunaikan tanggungjawab yang diberi.


Ini bukan bermakna program-program jati diri sebelum ini kurang baik, tetapi harus dipertingkatkan. Contoh: mengadakan tazkirah pagi pada setiap minggu atau seumpamanya yang mampu menerapkan sifat integriti dalam diri setiap individu.

Sumber : Sinar Harian


Read More

Post Top Ad

Your Ad Spot